TEMA: Kenaikan harga barang (Inflasi)
K/S: Punca-punca K/J:1+3
Ketika menongkah arus globalisasi yang semakin mencabar, negara kita tidak dapat melepaskan diri daripada belenggu inflasi, iaitu kenaikan harga barang secara holistik. Senario ini bukan sahaja memberikan beban kepada rakyat jelata, terutama golongan yang berpendapat rendah yang terpaksa hidup bagai kain basah kering di pinggang. Duri dalam daging ini perlu dicabut dalam masyarakat kita sebelum parah, rusuhan akibat daripada inflasi yang berlaku di luar negara harus menjadi iktibar di negara kita. Sebelum mengatur langkah untuk menangani masalah ini, biarlah pihak berkuasa menyusuri punca-punca kenaikan harga barang di negara kita.
Kata orang tua-tua, “ada asap, ada api”. Setiap kemusykilan pasti ada pangkal pokoknya. Salah satu faktor prioriti yang menyebabkan inflasi ialah kenaikan harga minyak. Tidak dapat dinafikan bahawa harga minyak petroleum telah naik secara drastik di pasaran antarabangsa, sehingga pernah mencecah US $144 setong pada tahun 2007. Hal ini memangkinkan kegiatan penyeludupan minyak petrol dan diesel yang telah disubsidikan oleh kerajaan itu ke negara jiran kita. Lantaran kerajaan terpaksa menaikkan harga minyak petrol dan diesel untuk mengurangkan beban kewangan. Penyeludup yang tamak telah menyebabkan rakyat jelata mengalami penderitaan. Hal ini sama dengan peribahasa, “ orang lain yang makan nangka, orang lain yang terkena getah.” Kenaikan minyak yang sebagai kos pengangkutan yang terutama akan memberikan kesan yang amat besar kepada harga barangan. Walhasilnya, harga semua barangan turut naik dengan serentak.Sesungguhnya, bencana alam juga merupakan punca yang mencetuskan kenaikan harga barang. Ketika berlakunya banjir atau kemarau yang berpanjangan, hasil tanaman pasti berkurangan. Sebagai contoh, ketika dilanda musim tengkujuh, harga sayur-sayuran akan naik secara mendadak. Sayur sawi pernah mencecah harga sebanyak RM8 sekilo manakala cili merah kini telah mencecah harga RM15 sekilo sebagai harga runcit. Sejak beberapa tahun ini, negara pengeluar makanan terutama seperti negara Thai, Rusia, India dan Kanada sering mengalami pelbagai musibah yang berkaitan dengan pemanasan global. Hasil tanaman mereka mengalami kemerosotan. Akibatnya, kerajaan negara berkenaan sanggup mengehadkan eksport hasil tanaman dan ternakan seperti beras, bahan tenusu, tepung gandum, bawang dan lain-lain ke luar negara sehingga harga barang makanan di pasaran antarabangsa turut menjulang. Rentetan daripada itu, rakyat kita terpaksa membeli barang makanan yang semakin mahal.
Tambahan pula, kenaikan mata wang asing berbanding dengan mata wang Malaysia telah menyumbang kepada gejala ini. Sejak dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997, nilai mata wang Malaysia telah terjunam. Peniaga negara kita terpaksa mengimport pelbagai barangan dari luar negara dengan mata wang asing. Sebagai realiti, negara kita terpaksa berurus niaga dengan negara asing melalui US dolar. Walaupun harga barangan tertentu tidak mengalami kenaikan harga di pasaran antarabangsa tetapi rakyat kita terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat nilai mata wang Malaysia yang agak rendah. Tidak dapat dinafikan bahawa mahu tidak mahu, kita tetap perlu membeli pelbagai barang keperluan dari luar negara kerana tidak dapat dihasilkan di dalam negara kita sendiri, seperti tepung gandum.
Lebih-lebih lagi, ada peniaga yang bersikap tamak haloba sering memasang jerat untuk meningkatkan harga barang. Demi meragut keuntungan yang lumayan, terdapat banyak peniaga sentiasa menangguk di air keruh dengan menyorok barangan keperluan. Mereka enggan menjual barang keperluan di pasaran lalu menimbulkan suasana yang gelisah dalam kalangan pengguna bahawa sudah kehabisan stok. Pengguna yang seperti cacing kepanasan akan merebut untuk membeli barangan itu sehingga peniaga berani menaikkan harga untuk menjual barang itu. Hal ini sering berlaku dalam masyarakat kita. Barangan keperluan seperti beras, gula, dan tepung sering menjadi sasaran kepada peniaga yang sentiasa menunggu peluang.
Kita semua sedar bahawa permintaan pasaran lebih tinggi daripada bekalan akan tercetusnya inflasi. Sehubungan dengan itu, pengguna kita juga perlu bertanggungjawab dalam konteks ini. Rakyat Malaysia tidak memiliki kesedaran tentang ilmu kepenggunaan. Mereka sering membeli-belah dengan berdasarkan nafsu dan bukan berpaksikan keperluan. Sebagai contohnya, ketika musim perayaan, penduduk Malaysia sering membeli barangan secara berlebihan sehingga berboros kerana tidak dapat menghabiskannya. Tamsilnya, mereka sering merebut daging ayam dan telur. Mereka membuat kuih-muih dan juadah dengan terlalu banyak. Apabila permintaan di pasaran lebih banyak daripada bekalan, harga barang naik secara drastik lagi. Siapakah yang menjadi mangsa? Tepuk dada tanya selera. Kenapa perayaan tidak boleh diraikan secara sederhana? Bukankah hubungan yang intim sekeluarga lebih penting daripada menyediakan makanan yang melambak? Ingatlah peribahasa, “Ingat sebelum kena, jimat sebelum habis.”
Untuk melepaskan diri daripada belenggu inflasi, pihak kerajaan, terutama Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna harus bertindak bijaksana seperti menarik rambut di dalam tepung untuk menangani masalah ini daripada terus menular. Kerjasama pihak pengguna, peniaga dan prihatin pihak berkuasa amat signifikan untuk meminimumkan inflasi sehingga mencapai inflasi sifar. Hal ini memang selaras dengan aspirasi 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
mohon share...
ReplyDelete