Wednesday 14 December 2011

SEJARAH MALAYSIA: NOTA 3

Kesan-kesan pendudukan Jepun di Tanah Melayu

[ Rujuk Kuliah 7 / 16 Disember 2009 di ruangan 'catatan lama' ]

KULIAH 7 SEJARAH 940/2: TG 6RK1/4 2009

SEJARAH 940/2 STPM

KESAN-KESAN PENDUDUKAN JEPUN DI TANAH MELAYU

(Dipetik daripada Skema Jawapan Pecutan Bestari A Sejarah 2 STPM, JPN Perak, SET A 2009)

BAHAN BACAAN / RUJUKAN:

1. Mahdi Shuib, Suzani Osman dan Sazlina Othman, Pra-U Sejarah Malaysia, Pearson, Petaling Jaya, 2005. Muka surat: 194-198.

2. K. Ratnam, Teks Suplemen STPM Sejarah Kertas 940/2 Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur, Pustaka Sarjana, Subang Jaya, 2006. Muka surat 175-178.

3. Norizan Yusof, Sejarah Malaysia (Kertas 2: Bahagian A ), Federal- Marshall Cavendish Education, Shah Alam, 2009. Muka surat: 279-287.

Pendahuluan

Jepun telah menawan seluruh Tanah Melayu pada 15 Febuari 1942. Kemusnahan dua buah kapal perang British iaitu H.M.S Repulse dan Prince Of Wales dengan penggunaan tentera ‘Kamikaze’ ( Berani Mati ), telah melemahkan semangat tentera British. Leftenan Jeneral Percival menyerah kalah secara rasmi kepada Jepun. Maka bermulalah zaman pemerintahan tentera Jepun di Tanah Melayu. Walaupun tempoh masa pendudukan Jepun singkat sahaja iaitu tiga tahun lapan bulan, namun pendudukan Jepun meninggalkan kesan yang sangat penting kepada penduduk tempatan baik dari aspek politik, sosial dan ekonomi.

Isi:

Kesan-kesan sosial

Pihak Jepun telah menjalankan dasar layanan yang berbeza terhadap kaum-kaum di Tanah Melayu. Semua kaum Melayu, Cina dan India mengalami penyeksaan, penderitaan, kebuluran dan ketakutan . Orang Cina menderita akibat kezaliman tentera-tentera Jepun. Ramai orang Cina telah melarikan diri ke pinggir-pinggir hutan untuk mengelakkan penyeksaan askar-askar Jepun. Mereka menanam makanan dan menternak ayam itik. Ini telah mewujudkan masyarakat setinggan di Tanah Melayu.

Kaum Melayu dan India diberi layanan baik tetapi ramai di antara mereka juga dihantar ke Siam untuk membina Jalan Keretapi Maut. Akibatnya ramai orang Melayu, India dan Cina telah terkorban dalam pembinaan tersebut akibat seksaan dan wabak penyakit. Merosotnya taraf kesihatan telah menyababkan merebaknya penyakit-penyakit tropika seperti beri-beri, taun dan malaria. Ubat-ubat yang dibawa oleh Jepun hanya dikhaskan untuk askar-askar Jepun sahaja.

Perbezaan layanan kaum ini telah mewujudkan permusuhan kaum khususnya di antara Melayu dan Cina. Contohnya pihak Jepun telah menggunakan orang Melayu yang menyertai pasukan tentera dan polis Jepun untuk mengesan orang Cina yang anti-Jepun. Ini menimbulkan rasa curiga dan permusuhan antara orang Melayu dengan orang Cina setelah Jepun menyerah kalah.

Sistem pendidikan Inggeris juga turut ditukar kepada sistem pendidikan Jepun. Bahasa Jepun iaitu ‘Nippon-go’ diwajibkan sebagai bahasa pengantar di semua sekolah dan juga sebagai lingua franca di seluruh negara. Sistem pendidikan Jepun menekankan beberapa aspek seperti pembentukan akhlak dan disiplin, taat setia kepada Maharaja Jepun dan kepatuhan kepada kerajaan Jepun. Kebudayaan Jepun disebarkan melalui sistem pendidikan Jepun. Orang tempatan diajar adat istiadat dan lagu kebangsaan Jepun, iaitu ‘Kamigayo’.

Kesan-kesan politik:

Nasionalisme orang Melayu

Pendudukan Jepun telah menamatkan tradisi kepercayaan bahawa kuasa-kuasa Barat merupakan kuasa yang tidak boleh dikalahkan. Ini telah menyemarakkan lagi kebangkitan dan kesedaran kebangsaan di kalangan penduduk Tanah Melayu.

Langkah pertama pendudukan Jepun yang membangkitkan perasaan nasionalisme di kalangan orang Melayu ialah dengan membebaskan ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) yang telah dipenjarakan oleh Inggeris dan memulihkan kembali KMM di bawah pimpinan Ibrahim Yaacob.

KMM kemudiannya telah diharamkan oleh Jepun pada tahun 1942 apabila disyaki mengadakan hubungan sulit dengan MPAJA. Jepun telah menubuhkan PETA ( Pembela Tanah Air ) bagi menarik perhatian orang-orang Melayu. Anggotanya terdiri daripada bekas pegawai KMM. Ibrahim Yaacob dilantik sebagai Leftenan Kolonel. PETA juga telah mengadakan hubungan sulit dengan MPAJA dan tentera Wataniah.

Di saat-saat Jepun menyedari kekalahannya, Jepun menolong kaum Melayu menubuhkan Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) pada Bulan Julai 1945. KRIS dipimpin oleh Ibrahim Yaacob dan Dr Burhanuddin Al-Helmy. Walaupun orang Melayu tidak berjaya mencapai kemerdekaan di bawah Jepun, namun semangat nasionalisme telah berjaya menarik orang Melayu untuk bersatu terutamanya dalam menentang Malayan Union.

Nasionalisme orang India

Perhatian kaum India telah dialihkan kepada pembebasan India dari penindasan penjajahan Inggeris. Orang India telah menubuhkan Liga Pembebasan India di bawah pimpinan Subhas Chandra Bose. Beliau juga telah menubuhkan Tentera Nasional India (INA) untuk membantu Liga Pembebasan India. Kedua-dua pertubuhan ini telah menguasai keadaan politik orang India di Tanah Melayu. Orang-orang India telah dikerah menyertai Tentera Nasional India.

Orang India digalakkan supaya memberikan bantuan kewangan dan harta untuk menyokong gerakan pembebasan India daripada penjajahan Inggeris. Subhas Chandra Bose yang dalam buangan telah mendirikan sebuah kerajaan yang bergelar ‘Azad Hind’ di Singapura. Ia telah menyahut slogan “Chalo Delhi” (Mara ke Delhi). Penggunaan slogan ini menaikkan lagi semangat nasionalisme dikalangan orang India. Bagaimanapun kekuatan INA dan Liga Pembebasan India telah merosot apabila Jepun menyerah kalah.

Nasionalisme orang Cina

Permusuhan antara orang Jepun dan Cina telah bermula sejak Jepun telah menawan China pada tahun 1937. Apabila Jepun berjaya menakluki Tanah Melayu dan Singapura pada bulan Febuari 1942, ramai orang cina telah dibunuh.Tindakan ini telah menyebabkan orang Cina merasakan pihak Jepun mengamalkan dasar diskriminasi. Keadaan ini mendatangkan kesan buruk terhadap perkembangan nasionalisme di Tanah Melayu. Contohnya tindakan ini merupakan titik permulaan permusuhan antara orang Cina dan orang Melayu.

Parti Komunis Malaya (PKM) telah menggunakan sentimen anti Jepun untuk memperoleh sokongan orang Cina untuk menentang Jepun di Tanah Melayu. PKM telah menubuhkan Malayan Peoples Anti-Japanese Army (MPAJA) yang dianggap sebagai gerakan mewakili semua bangsa di Tanah Melayu. MPAJA telah diberikan latihan oleh Sekolah Latihan Khas 101 di bawah pimpinan Kolonel Spencer Chapman serta dibekalkan senjata, ubat-ubatan, maklumat dan bahan makanan oleh tentera Berikat melalui ‘Force 136’ yang berpusat di Sri Langka.

MPAJA mengadakan hubungan sulit dengan PETA dan melancarkan perang gerila terhadap pihak Jepun. Jepun telah mengambil langkah untuk menarik minat orang Cina berfahaman sederhana yang kebanyakannya tinggal di bandar untuk bekerjasama dengan pemerintahan Jepun.

Pihak Jepun telah menubuhkan beberapa kelab seperti Epposho bagi masyarakat Cina di Pulau Pinang pada tahun 1944. Ramai orang Cina dilantik di dalam Majlis Penasihat di peringkat bandar dan negeri mulai tahun 1943.

Langkah-langkah Jepun untuk menentang golongan Cina yang anti-Jepun iaitu dengan menggunakan pasukan polis dan tentera Melayu telah menimbulkan kemarahan orang Cina terhadap orang Melayu. Perasaan ini kemudiannya telah menimbulkan unsur perkauman dalam persengketaan Cina-Melayu.

Kesan-kesan ekonomi

Dasar ‘bumi hangus’ yang diamalkan oleh British sebelum berundur dari Tanah Malayu ke Singapura telah menyebabkan ekonomi Tanah Melayu merosot kerana banyak kemudahan awam seperti infrastruktur telah diletupkan oleh tentera British. Begitu juga dengan perusahaan bijih timah dan getah turut merosot kerana kemusnahan alat-alat melombong seperti kapal korek dan alat-alat memproses getah.

Akibat peperangan, perdagangan Tanah Melayu dengan pasaran-pasaran luar telah terputus. Perdagangan Singapura dan Pulau Pinang telah merosot kerana Tanah Melayu tidak dapat mengeksport dan mengimport sebarang bahan.

Jepun mengamalkan sistem ekonomi sara diri dan memaksa rakyat menanam tanam-tanaman makanan seperti ubi kayu, keledek dan keladi untuk mengatasi masalah kekurangan makanan.

Perusahaan-perusahaan tempatan didirikan untuk menghasilkan barang-barang gantian seperti minyak masakan, sabun, gula, tayar, kertas, tali dan benang. Perusahaan-perusahaan penting diambil alih oleh syarikat-syarikat Jepun seperti Mitsui dan Mitsubishi.

Percetakan mata wang ‘pokok pisang’ yang tidak terkawal serta kekurangan bahan-bahan pengguna menyebabkan keadaan inflasi dengan harga-harga barang melambung tinggi dan nilai matawang Jepun menjunam jatuh.

Kesimpulan

Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu merupakan satu detik penting dalam sejarah tanah air kerana telah banyak mendatangkan kesan positif dan negatif. Pengunduran Jepun dari Tanah Melayu pada September 1945 adalah disebabkan pengeboman dua bandar penting di Jepun iaitu Hiroshima dan Nagasaki. Selepas pendudukan Jepun, Inggeris telah memperkenalkan pentadbiran Malayan Union di Tanah Melayu tetapi telah mendapat tentangan hebat daripada orang-orang Melayu eshingga memaksa Inggeris memansuhkannya dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Kebangkitan orang-orang Melayu menentang Malayan Union merupakan kesan daripada pendudukan Jepun di Tanah Melayu sewaktu Perang Dunia Kedua sehingga melahirkan semangat nasionalisme di kalangan orang-orang Melayu. 

SEJARAH MALAYSIA: NOTA 2

Faktor-faktor Jepun dapat menawan Tanah Melayu dengan mudah semasa Perang Dunia Kedua

[ Rujuk Nota Kuliah 6 / 16 Disember 2009 di ruangan 'catatan lama']

KULIAH 6 [16 Disember 2009]:

SEBAB-SEBAB JEPUN DAPAT MENAWAN TANAH MELAYU DENGAN MUDAH DALAM PERANG DUNIA KEDUA.

BAHAN BACAAN / RUJUKAN:SMK SULTAN YUSSUF, BATU GAJAH, PERAK.

1. Ruslan Zainuddin, Sejarah Malaysia, Fajar Bakti, Shah Alam, 2006. Muka surat: 507-512

2. Mahdi Shuib, Suzani Osman dan Sazlina Othman, Pra-U Sejarah Malaysia, Pearson, Petaling Jaya, 2005. Muka surat: 188-190

3. Ong Loo Chen, Sejarah STPM Kertas 940/2: Sejarah Malaysia, Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur (1800-1963), Pelangi, Bangi, 2005. Muka surat: 147-148.

4. Norizan Yusof, Sejarah Malaysia (Kertas 2: Bahagian A ), Federal- Marshall Cavendish Education, Shah Alam, 2009. Muka surat: 268-269.

Pengenalan

Pembaharuan Meiji dalam melaksanakan pemodenan menyebabkan Jepun memerlukan pelbagai bahan mentah untuk keperluan industrinya. Kesan daripada perlaksanaan dasar tersebut, Jepun melancarkan perluasan kuasa dengan menyertai Perang Dunia Kedua. Setelah menyerang dan menawan beberapa negara Asia, Jepun mula menyerang Tanah Melayu pada 8 Disember 1941 apabila mendarat di Kota Bharu, Kelantan dan pada 31 Januari 1942 seluruh Tanah Melayu jatuh ke tangan Jepun. Jepun hanya mengambil masa 70 hari untuk menawan Tanah Melayu, satu jangka masa yang amat singkat. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan Jepun begitu mudah menawan Tanah Melayu.

Isi:

Ketidaksediaan dan kelebihan tentera British

Tentera British di Tanah Melayu tidak bersedia untuk menghadapi sebarang serangan dari tentera Jepun. Pihak British tidak menyangka Jepun akan menyerang Tanah Melayu dari bahagian utara. British memusatkan pertahanan di bahagian selatan terutamanya, di Singapura. Pertahanan British di Tanah Melayu beranggapan bahawa bantuan akan dihantar oleh pihak Britain di Eropah sekiranya Tanah Melayu diserang. Malangnya Britain tidak dapat meng¬hantar bantuan ketenteraan apabila Tanah Melayu diserang oleh Jepun meman¬dangkan Britian sendiri berhadapan dengan Perang Dunia Kedua di Eropah. Keadaan ini telah memudahkan tentera Jepun menawan Tanah Melayu. Tentera British di Tanah Melayu juga tidak mempunyai peralatan yan sempurna dan latihan ketenteraan malah mereka terlalu percaya kepada askar-askar upahan dari India. Namun begitu sebahagian askar-askar upahan India ini terpengaruh dengan propaganda Jepun di Tanah Melayu.

Kelemahan pertahanan laut British

British memusatkan pertahannya di Singapura termasuk turut dilengkapi dengan dua buah kapal perang iaitu HMS Repulse dan Prince of Wales. Pertahanan laut British telah lum¬puh dengan kejayaan Jepun meneng¬gelamkan kedua-dua buah kapal tersebut pada 10 Disember 1941 ber¬hampiran dengan Kuantan. British percaya kehadiran kedua-dua buah kapal perang tersebut mampu menlindungi Tanah Melayu daripada sebarang ancaman. Namun begitu dengan tenggelamnya kedua-dua buah kapal tersebut, maka British tidak lagi mempunyai kekuatan per¬tahanan laut untuk mempertahankan pantai-pantai Tanah Melayu. Ini telah memudahkan Tanah Melayu ditawan oleh Jepun. Semangat tentera-tentera British di Tanah Melayu turut berkubur bersama-sama tenggelamnya kapal-kapal tersebut dan member laluan mudah Jepun menawan Tanah Melayu.

Kekurangan-kekurangan tentera British

Tentera British tidak mempunyai semangat berperang yang tinggi terutamanya apabila mereka tewas dalam pertempuran-pertempuran awal dengan Jepun di Tanah Melayu. Keadaan bertambah buruk dengan penenggelaman dua buah kapal perang British di perairan Pahang. Sebilangan besar tentera British pula terdiri daripada askar-askar upahan India yang bukan sahaja muda tetapi tidak mempunyai pengalaman berperang. Askar-askar ini juga berkemungkinan besar telah dipengaruhi oleh propaganda Jepun seperti "Asia untuk orang Asia". Semangat mereka untuk berperang adalah diragui malah mereka telah beralih dengan pro kepada Jepun yang turut berjanji akan membebaskan negara India daripada penjajahan British. British juga menghadapi masalah kewangan akibat Kemelesetan Ekonomi Dunia (1929-1932) dan tidak mampu membeli peralatan perang yang moden dan canggih sebagaimana yang dimiliki oleh Jepun.

Persediaan-persediaan peperangan oleh Jepun

Jepun telah mengatur perancangan dan persiapan perang yang rapi dan teliti sebelum menyerang Tanah Melayu. Mereka telah mengumpulkan pelbagai maklumat penting tentang ke¬dudukan pertahanan British, bilangan tentera British, peralatan tentera yang mereka miliki dan keadaan geografi sebelum menyerang Tanah Melayu. Tentera Jepun juga mempunyai rangkaian pengintipan yang cekap di Tanah Melayu sehingga dapat mengesan per¬tahanan Singapura begitu kukuh dan susah ditawan dari laut tetapi barisan pertahanan yang lain amat lemah. Justeru itu, Jepun telah menyerang melalui utara Tanah Melayu dengan menyerang pantai Timur dan pantai Barat. Tentera Jepun juga sedar tentang kekuatan tentera British hanya tertumpu di beberapa buah bandar besar sahaja dan mereka menyedari ke¬perluan Jepun menawan dan memusahkan barisan per-tahanan tersebut. Jepun juga berusaha mendapatkan sokongan daripada penduduk Asia termasuk penduduk Tanah Melayu dengan melancarkan pelbagai slogan propaganda seperti ‘Asia Untuk Orang Asia’. Jepun juga berusaha mendapatkan sokongan daripada pemimpin-pemimpin politik Melayu berhaluan kiri untuk menyokong Jepun. Dalam hal ini Jepun berjaya mendapatkan kerjasama daripada KMM yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Yaakub.

Kelebihan-kelebihan tentera Jepun

Tentera-tentera Jepun telah dilengkapi dengan semangat perjuangan yang tinggi. Mereka telah dilatih dengan baik untuk menyerang Semenanjung Tanah Melayu termasuk latihan dalam cara-cara men¬darat di Taiwan dan Indo-China. Ma¬lahan sesetengah daripada mereka mempunyai pengalaman berperang di negara China. Mereka berkebolehan untuk menyesuaikan di dengan pelbagai situasi dan telah berseda menghadapi penyakitmalaria serta penyakit tropika yang lain. Tentera Jepun juga telah disemaikan dengan disiplin ketenteraan yang tinggi dan semangat nasionalisme yang cukup kuat. Mereka telah disemaikan dengan semangat ‘Bushido’ang mana mereka mempunyai cirri askar yang berani, setia kepada tugas dan sanggup menderita, taat setia kepada Maharaja dan Negara. Sebagi contoh Tentera ‘Kamikaze’ Jepun sanggup mengorbankan diri demi kepentingan Negara. Tentera Jepun diketuai oleh pegawa-i¬pegawai tentera yang berkebolehan dan berpengalaman seperti Yamashita dan Tsuji. Tentera Jepun juga mempunyai se¬mangat yang berkobar-kobar. Mereka sedia berkorban demi kepentingan dan keagungan negara Jepun. Faktor ini telah membolehkan tentera Jepun mengalahkan tentera British walau¬pun bilangan mereka secara relatif adalah kecil. Tentera British ber-jumlah lebih daripada 130 000 orang manakala tentera-Jepun hanya ber¬jumlah kira-kira 60 000 orang. Tentera Jepun juga mempunyai taktik¬taktik peperangan yang baik dan lebih praktis seperti menunggang basikal di hutan. Ini telah mempercepat¬kan kemaraan mereka ke selatan Se¬menanjung Tanah Melayu. Tentera Jepunjuga menguasai udara selepas memusnahkan kapal-kapal terbang British. Jepun mempunyai kapal-kapal terbang yang lebih moden dan lebih banyak berbanding dengan pihak British.

Kesimpulan

Jepun berjaya menawan Tanah Melayu dalam tempoh yang singkat iaitu sepuluh minggu sahaja. Penawanan dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu bermula pada 8 Disember 1941 dan berakhir pada 12 September 1945. Terdapat pelbagai faktor yang memudah proses penaklukan Tanah Melayu oleh tentera Jepun sewaktu Perang Dunia Kedua sama ada akibat kelemahan pihak British di Tanah Melayu mahu pun kekuatan dan kelebihan yang dimiliki oleh tentera Jepun. Zaman pendudukan Jepun di Tanah Melayu dianggap sebagai mimpi ngeri kerana dipenuhi dengan keganasan, penderitaan, kemiskinan dan kebuluran. Pendudukan Jepun juga banyak mengubah sistem politik, ekonomi dan sosial di Tanah Melayu. Namun begitu kesan yang penting ialah kesedaran orang Melayu untuk mempertahan dan memeliharaan kedaulatan negara sehingga membangkitan penentangan terhadap pentadbiran British di Tanah Melayu selepas Perang Dunia Kedua.

No comments:

Post a Comment