Wednesday 14 December 2011

NOTA 8 DAN 7

SEJARAH MALAYSIA: NOTA 8

Ciri-ciri Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan reaksi penduduk Tanah Melayu terhadap penubuhannya.

Pengenalan

Pelaksanaan Malayan Union (MU) mendapat tentangan daripada orang Melayu. British terpaksa membubarkan MU dan menubuhkan satu jawatan kuasa kerja untuk merangka perlembagaan Tanah Melayu (PTM) yang baru. Pada 1 Februari 1948 PTM telah diisytiharkan.

Ciri-ciri PTM 1948

PTM terdiri dr 9 buah negeri Melayu dan 2 buah negeri Selat.

Diketuai oleh Majlis Mesyuarat Kerja Dewan Undangan Persekutuan.

Majlis Perundangan pula bertangungjawab dalam menggubal undang-undang.

Kedaulatan dan kuasa sultan dipelihara. Sultan memerintah dgn bantuan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Majlis Undangan Negeri yang mempunyai kuasa menggubal undang-undang.

Orang Melayu diberi hak istimewa sebagai kaum bmiputera.

Pemberian kerakyatan mengikut prinsip jus soli dihapuskan dan syarat memohon kerakyatan diperketatkan.

Reaksi terhadap penubuhan PTM 1948

a. All Malayan Council of Joint Action (AMCJA)

Pada Disember 1945 golongan profesional Cina telah menubuhkan Malayan Democratic Union (MDU) tidak bersetuju dengan kandungan Perlembagaan 1948 kerana dianggap tidak demokratik dan Singapura sepatutnya dimasukkan dalam PTM.

MDU telah bersatu dengan pertubuhan-pertubuhan bukan Melayu seperti Malayan Indian Congres, The Malayan Democratic League, Persekutuan Kesatuan Buruh Seluruh Tanah Melayu, Malayan

Peoples Anti Japanese Army dan Ex-Servise Comrades Association membentuk AMCJA. Tan Cheng dilantik menjadi Presiden.

AMCJA telah mengemukakan draf perlembagaan mereka sendiri dan menuntut supaya perlembagaan PTM 1948 yang dipersetujui antara kerajaan British, Raja-raja Melayu, dan UMNO dibatalkan. Tuntutan AMCJA tidak dapat diterima oleh pentadbiran British di Tanah Melayu kerana terlalu radikal.

b. Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA)

PUTERA merupakan pertubuhan politik Melayu berhaluan kiri tidak bersetuju dengan perlembagaan PTM 1948.

 Pertubuhan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang diketuai oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy telah keluar dari UMNO dan bergabung dengan Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan Pemuda Insaf (API), Kesatuan Tani, Gerakan Rakyat Melayu (GERAM) dan 80 buah kesatuan kecil yang lain membentuk PUSAT TENAGA RAKYAT pada Februari 1947.

c. Tentangan AMCJA-PUTERA

Pakatan AMCJA-PUTERA menentang PTM yang dirangka kerana tidak mewakili seluruh rakyat di Tanah Melayu. Pakatan iini tidak bersetuju kerana British secara sulit telah mengadakan rundingan dengan Lembaga 12.

Pakatan ini juga telah menggubal perlembagaan baru yang dianggap mewakili rakyat Tanah Melayu dikenali sebagai Perlembagaan Rakyat.

Sikap toleransi antara kaum Melayu dan bukan Melayu direalisasikan dalam pakatan AMCJA-PUTERA. Perlembagaan Rakyat tidak diterima oleh pentadbiran British di Tanah Melayu kerana dianggap radikal.

Pakatan AMCJA-PUTERA telah melancarkan hartal di seluruh Tanah Melayu pada 20 Oktober 1947 tetapi gagal mencapai matlamat kerana tidak mendapat sambutan daripada rakyat.

Kesimpulan

Masyarakat Melayu mendapat kejayaan menghapuskan rancangan MU dan memperkenalkan PTM. Mereka dapat memperjuangkan kedaulatan raja-raja. Melayu dan hak istimewa orang-orang Melayu. PTM 1948 menjadi asas kpd Perlembagaan Kemerdekaan 1957.



SEJARAH MALAYSIA: NOTA 7

Bandingkan ciri-ciri Malayan Union1946 dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948.

Pengenalan

Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 berdasarkan Piagam Atlantik yang menggariskan supaya semua tanah jajahan akan diberikan kemerdekaan. Gagasan Malayan Union yang

diperkenalkan oleh British di Tanah Melayu bukan sahaja mendapat tentangan yang hebat daripada orang Melayu, malahan sultan-sultan Melayu turut memulaukan gagasan tersebut. Gagasan tersebut menemui kegagalan disebabkan syarat-syarat yang terkandung

dalam perlembagaan tersebut amat tidak memuaskan hati kaum Melayu, terutama berkaitan hak istimewa dan taraf kewarganegaraan yang akan menggugat kepentingan kaum peribumi. British telah melantik jawatankuasa kerja untuk menggubal satu perlembagaan baharu sehingga terlaksananya Persekutuan Tanah Melayu 1948.



Isi

1. Penggubalan Perlembagaan MU adalah hasil daripada rancangan pembaharuan politik yang dirancang oleh British semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Pada Julai 1943, Unit Perancangan Tanah Melayu (Malayan Planning Unit) telah merangka sistem pentadbiran baru yang bakal dilaksanakan di Tanah Melayu. Hasil idea Sir Edward Gent yang mahu menggabungkan negeri Melayu Bersekutu, Negeri Melayu Tidak Bersekutu, Pulau Pinang dan Melaka menjadi Malayan Union. Singapura dipisahkan menjadi Tanah Jajahan berasingan. Manakala perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 adalah hasil idea daripada Jawatankuasa Kerja yang dipengerusikan oleh Sir Malcom McDonald. Jawatankuasa ini dianggotai oleh 12 orang ahli iaitu 4 orang wakil Raja-raja Melayu, 2 orang wakil UMNO dan 6 orang wakil Pegawai British ianya dikenali juga sebagai Lembaga 12. Orang bukan Melayu tidak diajak menduduki kerusi Jawatankuasa Kerja kerana tidak dianggap sebagao penduduk asal negara ini. Hasil laporan tersebut perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu telah memberikan kerajaan pusat kuasa yang lebih luas seperti MU tetapi masih menghormati keperibadian

Negeri-negeri Melayu.

2. Dalam perlembagaan Malayan Union 1946, Negeri-negeri Melayu kecuali Singapura disatukan di bawah satu pemerintahan pusat yang diketuai oleh seorang gabenor dengan dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan dan Majlis Perundangan. Singapura diasingkan daripada Malayan Union dan dikenali sebagai Tanah Jajahan Mahkota British. Manakala dalam perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu dan Negeri-negeri Selat dalam satu pentadbiran persekutuan yang diketuai oleh seorang Pesuruhjaya Tinggi dengan dibantu oleh Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Mesyuarat Undang-undang Persekutuan. Keadaan ini memberi peluang ke arah pemerintahan berkerajaan sendiri kerana dalam Majlis Undang-undang Persekutuan mempunyai 75 ahli yang terdiri daripada 14 ahli rasmi daripada pegawai kerajaan, 9 Yang Dipertua Majlis Mesyuarat Undangundang Negeri mewakili Negeri-negeri Melayu, 2 wakil Majlis Mesyuarat Negeri yang mewakili Melaka dan Pulau Pinang.

3. Dalam aspek kedudukan Sultan pula, Malayan Union telah meletakkan Sultan hanya berhak dan berkuasa ke atas hal ehwal Agama Islam dan adat istiadat orang Melayu. Mereka tidak mempunyai kuasa di bidang pentadbiran, Majlis Mesyuarat Negeri masih kekal menguruskan hal ehwal kerajaan tempatan tetapi tidak berada di bawah pemerintahan pusat. Situasi ini berbeza dengan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang memberi hak kepada sultan untuk memerintah kerajaan negeri dengan bantuan Majlis Mesyuarat Negeri dan Majlis Perundangan Negeri. Mereka diberi kuasa ke atas kerajaan tempatan, pendidikan, kesihatan, pertanian dan tanah. Manakala undangundang yang diluluskan oleh Majlis Perundangan Negeri harus mendapat persetujuan daripada Sultan. Majlis Raja-raja Melayu juga ditubuhkan bagi

memberi peluang kepada mereka untuk membincangkan mengenai hak-hak dan kepentingan Sultan serta saranan untuk membantu pemerintahan negeri atau persekutuan.

4. Dalam aspek hak kewarganegaraan, perlembagaan Malayan Union memberi hak kenegaraan yang sama kepada semua orang tidak mengira bangsa dan asal keturunannya. Hak ini termasuk peluang untuk memasuki perkhidmatan awam dan mengundi dalam pilihanraya. Kaum bukan Melayu menikmati hak kewarganegaraan yang longgar melalui prinsip ‘jus soli’ samada melalui

kuatkuasa undang-undang atau perhubungan. Manakala Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah mengenakan syarat kewarganegaraan yang lebih ketat terutama kepada warga negeri asing dengan perlu menetap 8 tahun daripada 12 tahun atau 15 tahun daripada 20 tahun sebelum permohonan prinsip ‘jus soli’ telah dimansuhkan. Manakala hak minimum untuk memohon

kewarganegaraan adalah 18 tahun, mempunyai perwatakan baik dan menguasai Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Dengan cara ini kadar migrasi dapat dikawal dan orang Melayu lebih terjamin kedudukannya.

5. Pengenalan Malayan Union telah menggugat hak keistimewaan sebagai pribumi Tanah Melayu yang sejati apabila semua bangsa dan kaum layak untuk dipertimbangkan memasuki perkhidmatan awam dan satu undi dalam pilihanraya umum. Begitu juga syarat kewarganegaraan yang longgar telah menjejaskan kedudukan orang Melayu kerana kemasukan orang asing ini akan menggugat penguasaan ekonomi orang Melayu. Manakala Persekutuan

Tanah Melayu 1948 orang Melayu telah diberikan hak keistimewaan sebagai kaum bumiputera. Mereka mempunyai wakil terbesar dalam kerajaan persekutuan dan Kerajaan Negeri juga berlaku pertambahan ahli rasmi dan tidak rasmi dalam Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Undang-undang Persekutuan.

6. Perlembagaan MU telah diterima baik oleh orang bukan Melayu kerana pemberian hak yang sama rata kepada semua kaum. Syarat-syarat kewarganegaran yang longgar juga amat dipersetujui kerana memberi peluang kepada mereka untuk menjadi warganegara Tanah Melayu. Tetapi dengan perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948, hak-hak tersebut

diketepikan dengan syarat-syarat kewarganegaraan yang lebih ketat. Bantahan telah dibuat oleh kaum bukan Melayu, parti politik Melayu berhaluan kiri dan golongan revolusioner. Ketiga-tiga pihak tidak bersetuju dengan perlembagaan Persekutuan kerana mereka tidak diajak sama berbincang dan tidak mewakili semua kaum yang ada di Tanah Melayu.

Kesimpulan

Syarat di dalam Perlembagaan Malayan Union yang membelakangkan kepentingan hak orang Melayu, kehilangan kuasa Sultan, taraf kewarganegaraan yang longgar telah memaksa perlembagaan ini diganti dengan perlembagaan persekutuan Tanah Melayu yang lebih bersifat tolak ansur. Ini menunjukkan muncul sifat toleransi antara kaum dan ianya dapat dilihat berdasarkan kepada isi kandungan syarat yang terdapat di dalam kedua-dua perlembagaan yang telah dibincangkan. Hasrat ke arah berkerajaan sendiri menjadi lebih jelas apabila kepentingan orang Melayu telah diberi perhatian oleh British. Beberapa perubahan pentadbiran yang dibuat memberi peluang kepada orang Melayu mentadbir dan hasilnya pada 31 Ogos 1957 Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.



[ Dipetik daripada Skema Peperiksaan Percubaan Sejarah 2 STPM Negeri Kedah 2011 melalui http://sejarahstpm.blogspot.com ]

No comments:

Post a Comment