Friday 2 December 2011

NOTA SEJARAH CIKGU AZMI

CUTI-CUTI BELAJAR SMK SULTAN YUSSUF [ TG 6RK1, 6RK3 & 6RK4 ]

SEJARAH MALAYSIA: NOTA 1



Aliran perjuangan dalam gerakan nasionalisme di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua



Pengenalan

Gerakan nasionalisme di Tanah Melayu telah wujud pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20 akibat dasar perluasan kuasa British. Ia merupakan tindak balas secara langsung penduduk kepada perubahan-perubahan yang dilakukan oleh penjajah British dari segi politik, sosial dan ekonomi, serta pengaruh gerakan nasionalisme semasa di negara-negara Asia dan Timur Tengah Pada dasarnya gerakan nasionalisme Melayu sebelum Perang Dunia Kedua terbahagi kepada tiga aliran perjuangan yang dipimpin oleh tiga golongan nasionalis yang mempunyai latar belakang pendidikan yang berbeza, iaitu aliran agama yang dipimpin oleh golongan reformis Islam berpendidikan Arab(1906-1926), aliran sekular berpendidikan Melayu (1927-1937), dan aliran birokrat berpendidikan Inggeris (1938-1941). Setiap aliran mempunyai matlamat dan cara perjuangan yang agak berbeza. Bagaimanapun kesemua golongan ini cuba membangkitkan kesedaran dan menyatukan orang Melayu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris Sebaliknya kaum Cina dan India lebih menumpukan taat setia dan perhatian kepada gerakan nasionalisme di negara asal masing-masing.



Aliran reformis Islam berpendidikan Arab



Aliran reformis Islam atau Gerakan Islah Islam turut dikenali sebagai Kaum Muda. Aliran ini dipelopori oleh golongan reformis Islam berpendidikan Arab. Antara tokoh pemimpin Kaum Muda yang termasyhur ialah Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Ahmad al-Hadi, Hj. Abbas Mohamad Taha dan Sheikh Muhamad Salim al-Kalali.



Mereka mendapat inspirasi dari Gerakan Reformis Islam Timur Tengah yang diasaskan oleh Sheikh Muhammad Abduh dan Sayid Jamaluddin al-Afghani yang tersebar dalam Majalah Al-Manar di Kaherah pada akhir abad ke-19 dan awal abad ke-20.



Sekembalinya ke Tanah Melayu mereka mula menyampaikan ajaran Sheikh Muhammad Abduh dan konsep pan-Islamisme melalui akhbar Al-Imam yang diterbitkan di Singapura pada 22 Julai 1906. Al-Imam memainkan peranan penting sebagai saluran terawal perjuangan Kaum Muda.



Matlamat perjuangan Kaum Muda ialah ingin mengembalikan dan menegakkan kesucian agama Islam, menyeru orang Melayu bangkit dari kemunduran, memulihkan kepincangan sosio-ekonomi dengan cara kembali kepada ajaran Islam sebenar berpandukan al-Quran dan hadis. Mereka ingin



Kaum Muda memperjuangkan beberapa pembaharuan demi kemajuan orang Melayu. Ini termasuklah gesaan agar Raja dan pembesar Melayu menjaga kepentingan, memajukan pendidikan dan sosio-ekonomi orang Melayu. Mereka menganjurkan sistem pendidikan agama dan pendidikan moden yang merangkumi pelbagai mata pelajaran akademik, menggalakkan penggunaan perkhidmatan bank dan syarikat kerjasama, penyertaan kaum wanita dalam pendidikan moden dan aktiviti kemasyarakatan, memurnikan cara hidup orang Melayu daripada kepercayaan tahyul dan khurafat serta amalan-amalan bidaah yang menghalang kemajuan.



Selain al-Imam, perjuangan Kaum Muda juga disebarkan melalui beberapa akhbar dan majalah lain iaitu Neracha, al-Ikhwan, Idaran Zaman dan Saudara.



Kaum Muda juga bergiat cergas dalam perbincangan-perbincangan agama dan aktiviti dakwah di sekolah-sekolah agama, madrasah dan masjid. Pada tahun 1907, Kaum Muda telah membantu menubuhkan Madrasah al-Ikbal al-Islamiyah di Singapura, diikuti beberapa madrasah lain di seluruh Tanah Melayu seperti Madrasah al-Hadi di Melaka (1915), Madrasah al-Masyhur di Pulau Pinang (1926), Madrasah Muhammadiah di Kota Bharu, Kelantan (1917) dan Sekolah al-Diniah, Padang Rengas, Perak (1925).



Puisi, cerpen dan novel juga diterbitkan untuk membangkitkan semangat kebangsaan. Syed Sheikh Ahmad al-Hadi misalnya telah menerbitkan beberapa karyanya seperti novel ‘Hikayat Faridah Hanum’ dan ‘Agama Islam dan Akal’. Melalui karyanya beliau memperjuangkan emansipasi wanita dan menggesa muda mudi Islam melengkapkan diri dengan tuntutan dunia moden. Omar Mustaffa telah menulis puisi dalam Utusan Melayu untuk menggesa orang Melayu supaya rajin bekerja dan menyaingi kaum pendatang.



Perjuangan Kaum Muda mula merosot pada tahun-tahun 1920-an. Pergerakan nasionalisme ketika itu mula diambil alih oleh golongan sekular berpendidikan Melayu. Pada umumnya, perjuangan Kaum Muda gagal mewujudkan satu pergerakan massa dalam kalangan orang Melayu. Ini kerana perjuangan mereka mendapat tentangan hebat terutamanya dari Kaum Tua dan pihak British.



Kaum Tua terdiri daripada golongan ulama konservatif dan pegawai agama yang berpegang kuat kepada adat dan enggan menerima idea islah Kaum Muda. Kaum Tua menerbitkan akhbar Suara Benar dan Lidah Benar untuk menentang idea Kaum Muda.



Gerakan Islah hanya dapat berkembang di Negeri-negeri Selat kerana undang-undang telah dikuatkuasakan di Negeri-negeri Melayu yang menghalang kegiatan dakwah Islam tanpa kebenaran Sultan dan menghalang penyebaran risalah dan buku-buku Kaum Muda



Walau bagaimanapun perjuangan Kaum Muda tetap memberi sumbangan penting terutamanya merintis kebangkitan nasionalisme Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Kaum Muda telah berjaya membangkitkan kesedaran kebangsaan dan memperjuang kan isu kemunduran orang Melayu berbanding kaum-kaum lain.



Aliran nasionalis sekular berpendidikan Melayu



Akibat daripada tekanan politik, ekonomi, kaum pendatang asing serta kemunculan golongan berpendidikan Melayu dan Inggeris telah membawa kepada kemunculan golongan nasionalis berfahaman sekular di Tanah Melayu pada pertengahan tahun 1920-an.



Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris (1922) di Tanjung Malim telah melahirkan golongan berpendidikan Melayu yang menitikberatkan keadaan sosio-ekonomi orang Melayu. MPSI telah menjadi tempat perkembangan kesedaran orang Melayu



Perjuangan golongan ini bersifat sederhana dan bertoleransi dengan pemerintah Inggeris. Kebanyakan mereka merupakan lepasan Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan Raffles Intitution, Singapura. Antara tokoh pentingnya termasuklah Raja Chulan, Dato’ Abdullah Haji Dahlan, dan Mohammad Eunos Abdullah.



Perjuangan golongan ini memberi tumpuan kepada kedudukan sosial dan ekonomi orang Melayu. Mereka berusaha untuk mendapatkan peluang yang lebih kepada orang Melayu berkhidmat dalam perkhidmatan awam serta peluang melanjutkan pelajaran ke luar negara khususnya Britain.



Dalam tahun 1926, Mohd Eunos Abdullah dengan bantuan Tengku Abdul Kadir dan Embok Suloh telah menubuhkan parti separuh-politik iaitu Kesatuan Melayu Singapura (KMS). Fokus perjuangan KMS adalah untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu



Persaudaraan Sahabat Pena telah ditubuhkan pada tahun 1934 juga merupakan pertubuhan kebajikan sosial bagi memperjuangkan kedudukan sosio-ekonomi orang Melayu. Isu-isu sosial, ekonomi dan politik orang Melayu juga dibangkitkan dalam akhbar seperti Pengasuh, Idaran Zaman, Lembaga Melayu dan Saudara



Dalam tahun-tahun 1920-an juga telah muncul golongan nasionalis radikal Melayu yang merupakan pelajar-pelajar yang menuntut di Kaherah, Mesir. Mereka telah menerbitkan majalah Seruan Azhar (1925-1928) dan Pilihan Timur. Golongan ini memperjuangkan konsep penyatuan Tanah Melayu dengan Indonesia dan nasionalisme anti-penjajah. Doktrin perjuangan mereka telah mempengaruhi sebilangan penuntut di MPSI.



Aliran birokrat Melayu berpendidikan Inggeris



Desakan oleh kaum asing terutamanya orang Cina menuntut hak-hak yang sama dengan orang Melayu dan kegiatan komunis dalam kalangan orang Cina membimbangkan orang Melayu



Kontroversi mengenai isu pengagihan kuasa pusat dalam tahun-tahun 1920-an dan kemelesetan ekonomi dunia (1929-1933) yang menekankan masalah kemunduran ekonomi orang Melayu telah mengakibatkan kesedaran dalam kalangan orang Melayu untuk melindungi hak-hak mereka



Perangan China-Jepun yang bermula tahun 1937 dan pemulauan barang-barang Jepun oleh penduduk Cina di Tanah Melayu juga mengukuhkan kesedaran politik orang Melayu. Di samping itu perkembangan kegiatan komunis dalam kalangan penduduk Cina di Tanah Melayu turut meningkatkan kebimbingan orang Melayu



Perkembangan ini mendorong pemimpin-pemimpin aristokrat berpendidikan Inggeris untuk menubuhkan beberapa persatuan kenegerian bersifat separa-politik bagi memperjuangkan konsep "Tanah Melayu Untuk Orang Melayu"



Persatuan Melayu Perak diasaskan pada tahun 1937, diikuti dengan Persatuan Melayu Pahang, Selangor, Negeri Sembilan pada tahun berikutnya manakala Persatuan Melayu Kelantan pada tahun 1939



Persatuan-persatuan negeri ini telah menganjurkan Kongres Melayu Tanah Melayu dalam tahun-tahun 1939 dan 1940 dengan tujuan memupuk perpaduan Melayu. Bagaimanapun usaha tersebut tergendala akibat serangan Jepun ke atas Tanah Melayu dalam tahun 1941



Dalam tahun 1938 golongan nasionalis radikal berpendidikan Melayu di bawah pimpinan Ibrahim Hj Yaakob dan Ishak Hj. Muhammad telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda (KMM) sebuah pertubuhan politik bersayap kiri. Pemimpin lain termasuklah Onan Hj. Siraj, Abdul Karim Rashid, Hj. Othman Abdullah, Hassan Manan dan Ahmad Boestamam.



Kebanyakan ahlinya terdiri daripada wartawan dan penuntut Maktab Perguruan Sultan Idris, Sekolah Pertanian Serdang, dan Sekolah Teknikal, Kuala Lumpur. KMM dipengaruhi oleh gerakan nasionalisme Indonesia yang memperjuangkan kemerdekaan bersama Tanah Melayu dan Indonesia menerusi konsep "Indonesia Raya" atau "Melayu Raya"



KMM telah mengembangkan idea-idea politik mereka melalui akhbar Warta Malaya dan Majlis untuk menyebarkan perasaan anti-Inggeris dan membangkitkan semangat kebangsaan dalam kalangan orang-orang Melayu. Akibatnya seramai 100 orang ahli KMM termasuk Ibrahim Yaakob dan Ishak Hj. Muhammad telah ditangkap dan dipenjarakan oleh Inggeris pada akhir tahun 1941



Secara keseluruhannya perjuangan KMM gagal mendapat sokongan orang Melayu kerana gerakannya dianggap terlalu radikal manakala konsep penyatuan Tanah Melayu dengan Indonesia dianggap terkehadapan dan belum dapat diterima. Mereka juga gagal menyatakan taat setia kepada raja-raja Melayu serta bersedia menggulingkan Inggeris secara kekerasan dengan melancarkan revolusi. Sikap KMM yang anti-birokrasi juga menyebabkan pertubuhan itu sukar mendapat sokongan golongan birokrat yang mempunyai pengaruh kuat dalam masyarakat.



Nasionalisme orang Cina



Secara umumnya kegiatan politik orang Cina di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua masih berkiblatkan kepada perkembangan politik di negara China. Kebanyakan orang Cina masih menganggap negara China sebagai tanah air mereka dan menumpahkan taat setia kepada negara dan maharaja mereka. Bagi mereka, penghijrahan ke Tanah Melayu hanyalah bersifat sementara



Bagaimanapun minoriti masyarakat Cina keturunan Cina Baba turut menuntut hak-hak yang sama dengan orang Melayu sebagai penduduk Tanah Melayu. Tuntutan mereka disalurkan melalui Straits Chinese British Association yang ditubuhkan di Singapura pada 17 Ogos 1900 di bawah pimpinan Tan Jiak Kim, Lim Boon Keng, Song Ong Siang dan Seah Lian Seah



Nasionalisme orang India



Sebagaimana orang Cina, corak politik orang India lebih menumpukan kepada pergolakan dan perkembangan politik negara asal India. Mereka masih menganggap India sebagai tanah air mereka dan tidak berhasrat untuk menetap terus di Tanah Melayu



Orang India hanya mula menumpukan perhatian serius terhadap perkembangan politik di Tanah Melayu setelah tercetusnya Perang Dunia Kedua. Gerakan politik India pada awalnya disalurkan menerusi pertubuhan sosial dan kebajikan yang banyak ditubuhkan di bandar-bandar utama antara Persatuan India Taiping (1906), Persatuan India Selangor (1909) dan Persatuan India Singapura (1923).



Isu utama mereka berkisar kepada masalah perwakilan orang India dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan dan Negeri. Manakala pertubuhan bercorak politik pertama orang India ialah Persatuan India Pusat (Central Indian Association of Malaya/CIAM) pimpinan Dr. A.M.Soosay. CIAM dapat dianggap pencetus kesedaran kebangsaan di kalangan orang-orang India di Tanah Melayu.



Kesimpulan

Perbincangan di atas menunjukkan nasionalisme di Tanah Melayu sebelum Perang Dunia Kedua telah berkembang secara beransur-ansur berdasarkan kaum-kaum terbesar Melayu, Cina dan India. Gerakan nasionalisme dalam kalangan orang Melayu secara keseluruhannya diterajui oleh tiga aliran utama iaitu aliran reformis Islam berpendidikan agama, aliran nasionalis sekular berpendidikan Melayu, dan aliran birokrat Melayu berpendidikan Inggeris. Manakala gerakan politik orang Cina dan India masih berfokus kepada perkembangan nasionalisme di negara asal masing-masing. Bagaimanapun perjuangan golongan sederhana Melayu berpendidikan Inggeris telah meletakkan asas bagi penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946 yang kemudiannya menerajui perjuangan ke arah kemerdekaan Tanah Melayu lewat tahun-tahun1940-an dan 1950-an.



Dihantar oleh AZMI AHMAD di 4:46 PG

No comments:

Post a Comment