Wednesday 14 December 2011

NOTA 4

SEJARAH MALAYSIA: NOTA 4

Sebab-sebab orang Melayu menentang Malayan Union 1946 dan menerima Persekutuan Tanah Melayu 1948

Pendahuluan

Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 yang dilaksanakan berdasarkan Piagam Atlantik. Piagam ini pada dasarnya merancang ke arah berkerajaan sendiri bagi tanah-tanah jajahan British. Namun orang-orang Melayu terutamanya tidak dapat menerima gagasan ini lalu bangkit menentang sekeras-kerasnya menyebabkan pada 23 Julai 1946, British telah melantik satu Jawatankuasa Kerja yang terdiri daripada 4 orang wakil Sultan Melayu, 2 orang wakil UMNO dan 6 orang pegawai kanan

British yang dipengerusikan oleh Sir Malcom Mac Donald untuk menggubal satu perlembagaan baru untuk manggantikan Malayan Union. Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (PTM 1948) didapati dapat diterima oleh orang-orang Melayu berbanding dengan Malayan Union 1946 yang mendapat tentangan hebat.


Sebab-sebab orang Melayu menentang Malayan Union (MU)

a) Kehilangan Kuasa Sultan

Walaupun Perlembagaan MU tidak menghapuskan institusi sultan sama sekali, tetapi mereka tidak mempunyai sebarang kuasa di dalam memerintah. Kuasa memerintah dipegang sepenuhnya oleh Gabenor. Jelasnya MU telah merampas kedudukan sultan-sultan yang hanya sekadar berkuasa dalam bidang agama dan adat istiadat Melayu sahaja. Itupun Majlis Mesyuarat Agama dipengerusikan oleh Gabenor.

b) Syarat Kewarganegaraan Yang Longgar

Perlembagaan MU mencadangkan pemberian kerakyatan yang amat liberal kepada orang-orang bukan Melayu. Disamping prinsip jus soli setiap orang yang bermastautin lebih daripada 5 tahun di MU boleh memohon untuk mendapatkan kerakyatan. MU memperakukan hak-hak kewarganegaraan yang sama rata bagi semua orang. Ini bermakna hak dan kedudukan orang Melayu akan berakhir. Isu ini merupakan isu bantahan yang paling keras sekali.

c) Tindakan Sir Harold MacMichael Mendapatkan Tandatangan Sultan

Tindakan wakil British, Sir Harold MacMichael memaksa sultan-sultan Melayu menurunkan tanda tangan juga benar-benar telah mengguris hati orang-orang Melayu. Sultan-sultan langsung tidak diberi waktu untuk mempertimbangkan keputusan untuk melaksanakan MU sebaliknya telah diugut untuk diturunkan takhta sekiranya tidak menurunkan tanda tangan. Contohnya pernah berlaku kepada sultan Kedah.

d) Sokongan Bekas Pegawai-pegawai British

Masyarakat Melayu juga mendapat sokongan daripada bekas-bekas pegawai British yang pernah bertugas di Tanah Melayu. Mereka adalah seperti Frank Swettenham, Sir Cecil Clementi Smith, Sir George Maxwell dan Ronald Bradell. Malah Ronald Bradell telah

menjadi penasihat kepada UMNO. Sokongan ini menambahkan lagi semangat orang Melayu untuk menentang MU.

Sebab-sebab orang Melayu menerima Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948

a) Struktur Negeri

PTM 1948 terdiri daripada sembilan buah negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka. Singapura dipisahkan daripada PTM dan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British dan ditadbir secara berasingan. Rasional British mengasingkan Singapura ialah kerana bimbang orang Melayu akan dikuasai oleh orang Cina. PTM 1948 akan diketuai oleh pesuruhjaya tinggi British yang dilantik oleh

baginda Queen. Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan berperanan untuk membantu dan memberi nasihat kepada pesuruhjaya tinggi tetapi beliau tidak semestinya menerima nasihat majlis ini. Majlis Raja-Raja Melayu ditubuhkan untuk menasihati pesuruhjaya tinggi British. Majlis ini akan bersidang bila-bila masa sahaja jika perlu. Persidangan akan dipengerusikan oleh salah seorang daripada sembilan orang raja itu.

b) Kedudukan Raja-Raja Melayu

PTM 1948 telah memulihkan kedudukan sultan-sultan seperti kedudukan sebelum perang. Sultan mempunyai hak kuasa pemerintah dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerja Kerajaan dan Dewan Perundangan Negeri. Rang undang-undang yang diluluskan oleh kedua-dua dewan tersebut mestilah disahkan oleh baginda sultan. Jelasnya PTM memulakan corak kerajaan Raja Berperlembagaan

c) Kewarganegaraan

Perkara ini diberi perhatian mendalam oleh Jawatankuasa Kerja. Syarat-syarat kerakyatan kembali menjadi ketat, antaranya ialah ;

i) Mereka yang dilahirkan di Persekutuan dan telah bermastautin di situ sekurang-kurangnya lapan tahun daripada dua belas tahun.

ii) Mereka yang telah tinggal di Persekutuan sekurang-kurangnya lima belas tahun daripada 20 tahun terdahulu daripada permohonan tersebut dibuat.

Di sini jelas bahawa PTM 1948 telah melayan sebahagian besar tuntutan orang-orang Melayu berkenaan dengan pemberian kerakyatan, dan hak keistimewaan orang-orang Melayu juga terpelihara dalam PTM 1948.

Kesimpulan

Dengan ini jelaslah bahawa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948 jauh lebih baik daripada Perlembagaan Malayan Union 1946 dan ia dapat diterima oleh orang-orang Melayu. Namun begitu, Persekutuan Tanah Melayu 1948 mendapat bantahan daripada kaum bukan Melayu, parti politik berhaluan kiri, dan golongan progresif revolusiner. Ketiga-tiga pihak ini tidak bersetuju dengan Perlembagaan Persekutuan kerana mereka tidak diajak sama berbincang ketika merangka Perlembagaan Persekutuan 1948. Mereka menganggap Perlembagaan Persekutuan 1948 tidak mewakili semua kaum yang ada di Tanah Melayu. Namun begitu rentetan dari Perlembagaan Persekutuan 1948, telah menjadi teras kepada pembentukan sistem ahli dan seterusnya membawa kepada kemerdekaan Tanah Melayu pada tahun 1957.

No comments:

Post a Comment