Wednesday 14 December 2011

NOTA 6 DAN 5

SEJARAH MALAYSIA: NOTA 6

Dasar-dasar Jepun di Tanah Melayu antara tahun 1942 hingga tahun 1945.

Pengenalan

Pendudukan Jepun di Tanah Melayu bermula pada 15 Februari 1942 apabila Singapura jatuh ke tangan Jepun dan berakhir pada 12 September 1945. Pemerintahan Jepun di Tanah Melayu berlangsung selama 3 tahun 8 bulan. Jepun mengambil tindakan menyerang negara-negara di Asia termasuk Tanah Melayu kerana kaya dengan bahan mentah bagi memenuhi keperluan sektor industri dan ketenteraannya. Jepun telah melaksanakan beberapa dasar dalam bidang politik, sosial dan ekonomi untuk menguasai negara dan penduduk di Tanah Melayu supaya

memberikan sokongan kepada pemerintahan Jepun.

Dasar Politik, sosial dan ekonomi Jepun di Tanah Melayu

A) Dasar Politik

1. Jepun melaksanakan corak pemerintahan tentera di Tanah Melayu. Tanah Melayu diletakkan di bawah kuasa pentadbiran tentera yang berpusat di Singapura diketuai oleh Leftenan Jeneral Tomoyuki Yamashita. Pada peringkat pertama corak pemerintahan Jepun keras dan zalim. Selepas Jun 1943, Jepun mengubah dasarnya kepada bertolak ansur dengan penduduk tempatan untuk mendapatkan sokongan mereka kerana mengalami banyak kekalahan.

2. Pentadbiran Tanah Melayu dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu

a) Pentadbiran Negeri-Negeri Selat dijalankan oleh Gabenor yang berpusat

di Singapura. Nama Singapura ditukar kepada Syonan yang bermaksud Cahaya Selatan.

b) Tanah Melayu ditadbir oleh Gunseikan dan dinamakan sebagai Malai Baru. Tanah Melayu dibahagikan kepada lapan wilayah dan setiap wilayah ditadbir oleh Gabenor. Gabenor menerima arahan daripada Gabenor di Singapura. Pentadbiran Tanah Melayu dan Sumatera telah disatukan sehingga tahun 1943.

3. Pada Ogos 1943, Negeri-Negeri Melayu Utara telah diserahkan kepada Thailand selaras dengan perjanjian pada 11 Disember 1941. Tindakan ini sebagai membalas jasa Thailand membenarkan Jepun melalui negara itu untuk menyerang Tanah Melayu.

4. Jepun telah mewujudkan tiga jenis pasukan perisik tentera:

a) Kempeitai: menjadi perisik dalam masyarakat untuk mendapatkan maklumat anti-Jepun. Mereka sangat kejam dan membunuh ramai orang yang disyaki anti-Jepun.

b) Tekikan: mat-mata yang bertugas mencari musuh-musuh yang pro British untuk menentang Jepun. Mereka menjalankan propaganda, sabotaj dan pembunuhan.

c) Toko: pegawai-pegawai Jepun yang bertugas untuk merisik di seluruh Tanah Melayu sehinggakan Jepun tidak menghadapi ancaman dari dalam negeri.

5. Jepun memberikan keistimewaan kepada orang Melayu untuk mendapatkan sokongan daripada mereka. Ramai orang Melayu dilantik berkhidmat dengan Jepun sebagai Pegawai Daerah, polis dan tentera. Raja-raja Melayu diiktiraf dan kedudukan mereka dikekalkan.

6. Walaupun Jepun mengamalkan dasar pro Melayu tetapi orang Melayu tetap tidak berpuas hati kerana kezaliman Jepun, kesengsaraan, kebuluran, penderitaan dan ketakutan. Perkara ini membangkitkan kesedaran politik di kalangan orang Melayu.

7. Jepun mengamalkan dasar diskriminasi terhadap orang Cina kerana permusuhan orang Cina dan Jepun sejak Perang China-Jepun 1937. Tambahan pula orang Cina membantu British menentang Jepun. Selepas British menyerah kalah ramai orang Cina dibunuh oleh tentera Jepun. Pada tahun 1944, Jepun mula bertolak ansur kepada orang Cina kerana bergantung kepada orang Cina dalam bidang ekonomi. Jepun memerlukan bantuan makanan daripada orang Cina. Walau bagaimanapun kekejaman Jepun kepada orang Cina telah mengukuhkan lagi fahaman kebangsaan Cina dan sentimen anti-Jepun.

8. Jepun memberi layanan yang baik kepada orang India. Untuk menarik sokongan orang India, Jepun membantu menubuhkan Liga Kebangsaan India dan Tentera Nasional India. Jepun menyokong penubuhan kerajaan buangan Azad Hind yang dipimpin oleh Subha Chandra Bose. Walau bagaimanapun orang India masih menderita kerana kesengsaraan hidup, dipaksa bekerja di ladang, menjadi buruh paksa membina jalan kereta api maut di sempadan Thailand, tiada pekerjaan, dan diseksa.

B) Dasar Sosial

1. Jepun berusaha mengukuh kedudukan mereka di Tanah Melayu dengan memaksa penduduk menerima dan mengamalkan nilai-nilai bahasa dan kebudayaan Jepun.

2. Jepun telah mengharamkan semua akhbar yang diterbitkan sebelum penjajahan Jepun. Jepun juga mengambil langkah menukar nama akhbar-akhbar tempatan kepada nama Jepun seperti Malai Shimbun untuk Utusan Melayu.

3. Bahasa Jepun diajar di sekolah-sekolah, kelab-kelab dan pejabat. Sekolah Cina dan sekolah Inggeris ditutup dan digantikan dengan sekolah mengajar bahasa Jepun. Peluang kenaikan pangkat dan kemudahan-kemidahan lain diberikan mengikut kebolehan dan kemahiran bertutur dalam bahasa Jepun.

4. Hari-hari cuti am adalah berdasar kepada kalendar Jepun seperti hari jadi maharaja, hari angkatan tentra darat, laut dan musim menuai di Jepun. Semua ini bertujuan menaikan semangat nasionalisme rakyat Tanah Melayu terhadap negara Jepun.

5. Jepun cuba menghapuskan pengaruh Barat dalam kalangan penduduk Tanah Melayu dengan cara mengharamkan penggunaan radio gelombang pendek, mengharamkan filem-filem Barat, dilarang mendengar lagu-lagu Barat dan menutup tempat tari-menari di pusat-pusat hiburan.

6. Jepun mengambil langkah memburuk-burukkan kebudayaan Barat supaya dibenci penduduk tempatan .

C) Dasar Ekonomi

1. Pemerintahan Jepun mengamalkan dasar ekonomi bersifat berdikari dan dasar tutup pintu. Jepun menggalakkan penubuhan industri ringan bagi menghasilkan barangan keperluan dalam negeri seperti minyak, sabun dan tali serta tidak menggalakkan barangan tersebut dieksport.

2. Perusahaan-perusahaan penting diambil alih dan dikuasai oleh syarikat-syarikat Jepun seperti Mitsui dan Mitsubishi.

3. Jepun juga memperkenalkan mata wang “Pokok Pisang”. Keadaan tidak terkawal serta kekurangan barang-barang pengguna menyebabkan berlakunya inflasi dengan harga barangan melambung tinggi dan nilai mata wang Jepun menjunam jatuh.

4. Kegiatan ekonomi yang dulunya dikuasai oleh pengusaha Cina dan British telah diambil alih oleh tentera Jepun menyebabkan ekonomi Tanah Melayu merosot.

5. Jepun membangunkan bidang pertanian untuk mengatasi masalah kekurangan makanan. Jepun memperkenalkan Rancangan Tiga Tahun Sara Diri untuk meningkatkan pengeluaran pertanian khususnya tanaman padi. Jepun turut menggalakkan rakyat menanam ubi kayu, keledek dan keladi di sekeling rumah mereka untuk mengatasi masalah kekurangan makanan.

6. Pada tahun 1943 Tanah Rizab Melayu dibuka kepada orang bukan Melayu untuk dijadikan kawasan pertanian bagi mengatasi masalah kekurangan makanan.

7. Dasar ekonomi Jepun telah menyebabkan ekonomi Tanah Melayu merosot teruk. Keadaan ini menimbulkan masalah kebuluran, pengangguran dan masalah sosial.



[ Dipetik daripada Skema Peperiksaan Sejarah 2 STPM Negeri Perlis 2010 ]

SEJARAH MALAYSIA: NOTA 5

Mengapakah gerakan penentangan terhadap Malayan Union lebih berjaya berbanding dengan Gerakan Anti Penyerahan di Sarawak

Pengenalan

Malayan Union (MU) diisytiharkan secara rasmi pada 1 April 1946 yang bertujuan untuk menggabungkan semua negeri di Tanah Melayu di bawah satu sistem pemerintahan berpusat yang diketuai oleh Gabenor. Gerakan anti penyerahan di Sawarak pula timbul apabila Charles Vyner Brooke mengambil keputusan menyerahkan Sarawak kepada kerajaan British selepas Sarawak mengalami kemusnahan akibat pendudukan Jepun. Kedua-dua dasar ini telah menimbulkan tentangan daripada penduduk tempatan. Penentangan terhadap Malayan Union berjaya mencapai matlamatnya apabila MU diganti dengan Persekutuan 1948. Penentangan Gerakan Anti Penyerahan di Sarawak gagal mencapai matlamatnya apabila Sarawak secara rasminya diserahkan kepada kerajaan British pada 15 Julai 1946.

Isi

i. Kepimpinan

Ø Kejayaan MU banyak dipengaruhi oleh faktor kepimpinan. Kepimpinan Dato Onn berjaya menggerakkan penyatuan orang Melayu dan mengorganisasikan penentangan terhadap gagasan MU secara berkesan. Dato’ Onn berjaya menyatukan semua orang Melayu atau pertubuhan-pertubuhan Melayu seluruh negara yang sebelum ini bersifat kenegerian.

Ø Di Sarawak tidak ada pemimpin yang berwibawa untuk menggerakkan penentangan yang berkesan terhadap penyerahan Sarawak. Keadaan ini berlaku selepas kematian Datu Patinggi Abang Hj Abdillah.

ii. Sokongan Penduduk

Ø Penentangan terhadap MU mendapat sokongan menyeluruh daripada penduduk di Tanah Melayu. Hampir seluruh bandar utama di Tanah Melayu mengadakan tunjuk perasaan membantah MU.

Ø Di Sarawak tidak wujud sokongan yang meluas daripada penduduk Sarawak. Golongan yang menyokong Gerakan Anti Penyerahan terdiri daripada golongan terpelajar yang berada di kawasan bandar. Penduduk yang berada di luar bandar tidak bangkit menentang kerana mereka tidak mempunyai kesedaran politik.

iii. Pertubuhan Politik

Ø Di Tanah Melayu diwujudkan sebuah pertubuhan Melayu hasil Kongres Melayu. Pertubuhan yang ditubuhkan di istana Johor iaitu UMNO berjaya menyatukan orang Melayu dan menjadi wadah kepada orang Melayu untuk menentang MU.

Ø Di Sarawak wujud beberapa pertubuhan yang menentang Gerakan Anti Penyerahan seperti Persatuan Melayu Sarawak, Pesatuan Dayak Sarawak dan lain-lain namun mereka gagal membentuk sebuah pertubuhan politik yang lebih besar seperti UMNO.

iv. Sokongan luar



Ø Penentangan terhadap MU mendapat sokongan bekas pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu seperti Cecil Clementi Smith, Frank Swettenham, George Maxwell, Richard Winstedt, Ronald Bradell. Mereka ini membantah pelaksanaan MU di Tanah Melayu dan mengkritik dasar British itu melalui akhbar ‘The Times’ di London. Peranan bekas pegawai British ini juga penting dalam mempengaruhi dasar British itu di Tanah Melayu.

Ø Di Sarawak tidak wujud sokongan seperti itu dalam penentangan penduduk tempatan terhadap gerakan penentangan terhadap British.

v. Peranan Akhbar

Ø Peranan akhbar cukup penting dalam menjayakan penentangan terhadap MU. Antara akhbar yang memainkan peranan penting ialah Majlis di Kuala Lumpur, Warta Negara di Pulau Pinang dan Utusan Melayu di Singapura. Akhbar-akhbar ini berjaya memainkan peranan membangkitkan kesedaran orang Melayu tentang bahaya MU dan nasib yang akan menimpa orang Melayu jika MU dilaksanakan.

Ø Keadaan seperti ini tidak wujud di Sarawak.

vi. Tindakan British.

Ø Tindakan British di Sarawak berjaya melemahkan Gerakan Anti Penyerahan. Antara tindakan-tindakan British ialah melaga-lagakan sesama kaum pribumi iaitu antara orang Melayu dengan Iban. British juga mengeluarkan Pekeliling No.9 yang menghalang kakitangan kerajan daripada terlibat dengan gerakan anti penyerahan dan menukarkan tempat kerja pemimpin Gerakan Anti Penyerahan. Tindakan-tindakan British ini telah berjaya melemahkan Gerakan Anti Penyerahan. British juga mengambil tindakan yang keras ke atas Ahli Rukun 13 yang melancarkan penentangan yang agresif terhadap British.

Ø Keadaan seperti di Sarawak tidak berlaku di Tanah Melayu

Kesimpulan

Kejayaan penentangan terhadap MU terbukti apabila kerajaan British mengumumkan Persekutuan 1948 bagi menggantikan MU. Kejayaan menggantikan MU dengan Persekutuan dianggap satu kemenangan kepada orang Melayu. Sebaliknya Sarawak terus diserahkan kepada British dan ditadbir oleh British sehinggalah kerajaan British bersetuju untuk memberi kemerdekaan kepada Sarawak apabila Sarawak bersetuju menyertai Malaysia pada tahun 1963.

No comments:

Post a Comment